Sumbangan RM10 adalah sukarela - CUEPACS - Utusan Malaysia

Sumbangan RM10 adalah sukarela – CUEPACS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menjelaskan cadangan sumbangan RM10 daripada gaji penjawat awam kepada Tabung Harapan Malaysia adalah bersifat sukarela dan bukannya secara potongan automatik.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak pernah merancang untuk memberi tekanan atau paksaan kepada penjawat awam untuk berbuat demikian.

Jelasnya, cadangan itu juga tidak mempunyai kepentingan politik sebaliknya merupakan keputusan kongres yang bersidang pada 26 Jun lalu.

“CUEPACS tidak boleh meminta kerajaan potong gaji penjawat awam. Kami tidak boleh berbuat demikian. Kami lihat perkara ini melibatkan kebajikan penjawat awam juga. Kalau sumbang RM10, niat kita adalah hendak membantu kerajaan.

“Kami tidak ekstrem. Ia secara sukarela. Ada masanya kita bantu kerajaan. Penjawat awam perlu sentiasa berada di pihak kerajaan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Silaturrahim Aidilfitri CUEPACS 2018 di Pusat Konvensyen CIDB di sini hari ini.

Majlis itu dihadiri lebih 1,000 hadirin.

Isnin lalu, CUEPACS mencadangkan pemotongan RM10 gaji kakitangan awam pada bulan Ogos untuk disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Cadangan itu akan dipanjangkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN