KUALA KANGSAR 26 Julai – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Masjid Raja Permaisuri Bainun, Dewan Penginapan Mahasiswa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Perpustakaan Raja Ashman Shah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Turut hadir, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu; Naib Canselor USAS, Tan Sri Nordin Kardin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Ghazali Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan, Dr Abdul Aziz Bari.
Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian sebelum berangkat melawat ke Perpustakaan Raja Ashman Shah dan Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk.
Masjid Raja Permaisuri Bainun yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Universiti Sultan Azlan Shah setinggi dua tingkat itu dibina di atas tanas seluas 2,255.4 meter persegi dan mampu menampung seramai 2,000 jemaah.
Bagi Perpustakaan Raja Ashman Shah pula, ia sebelum ini dikenali sebagai Perpustakaan Universiti Sultan Azlan Shah dan mula beroperasi pada tahun 1999 di Jalan Dato Seri Shaari, Ipoh selaras dengan penubuhan Kolej Islam Darul Ridzuan.
Pada tahun 2008, perpustakaan itu telah berpindah ke bangunan baharu di Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang dilengkapi prasarana terkini bagi memastikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna perpustakaan berkenaan.
Sementara itu, Dewan Penginapan Mahasiswa MAIPk pula, ia dibina dengan pembiayaan MAIPk di mana bangunan setinggi lima tingkat yang mempunyai 75 unit kediaman itu mampu memuatkan seramai 700 penghuni.-UTUSAN ONLINE










