PULAU PINANG 10 Julai – Tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-19, Perak menjangkakan lebih 8,000 atlet serta 3,000 pegawai berkampung di negeri itu bagi menyertai temasya dwi tahunan berkenaan September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan Sow berkata, jumlah berkenaan membabitkan 14 kontinjen yang akan menyertai 29 sukan yang dipertandingkan.
Katanya, kesemua atlet berkenaan akan bersaing merebut 427 pingat emas yang dipertandingkan di 39 venue.
“Kesemua acara akan dipertandingkan di 12 daerah di seluruh negeri dan ketika ini persiapan hampir selesai dalam tempoh berbaki 67 hari sebelum temasya dibuka secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat kepada Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pulau Pinang, Soon Lip Chee di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE.










