Biarpun angka rasmi kematian akibat gelombang haba di Jepun hanya beberapa dozen, syarikat pengeluar ramalan cuaca dunia, AccuWeather menjangkakan jumlah kematian sebenar adalah ratusan dan meramalkan ia akan meningkat kepada ribuan.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
Sewaktu ratusan nyawa terkorban akibat banjir buruk yang disifatkan salah satu bencana terdahsyat dalam sejarah negara Jepun dan 7,000 rakyatnya masih trauma di pusat-pusat pemindahan pertengahan bulan ini, mereka diancam pula malapetaka yang lain.
Ketika para sukarelawan baru hendak mula menaksir kemusnahan bandar akibat banjir dan 250,000 mangsa banjir masih terperangkap di dalam rumah-rumah yang kotor tanpa bekalan air, derita ditambah dengan fenomena gelombang haba berbahaya yang menyebabkan suhu paling panas di negara itu sejak lima tahun lalu.
“Saya risaukan anak-anak, mereka boleh mengalami strok haba,” kata seorang mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan di Hiroshima, Yoko Kitamura, 38, kepada The Times of Japan.
Kitamura dan empat orang anaknya terselamat daripada air bah ganas dan berjaya mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan. Banjir akibat hujan yang turun empat kali ganda berbanding kebiasaan dari hujung Jun hingga pertengahan Julai itu telah menyebabkan 225 orang terbunuh, dua juta penduduk dipindahkan dan 13 orang hilang di 15 wilayah Jepun.
Musim panas pada tahun ini, Jepun berdepan cuaca yang dramatik dan luar biasa. Suhu bandar raya Tokyo kini dilaporkan pada paras 38 darjah Celsius dengan kawasan berhampirannya, Kumagaya meningkat sehingga 41.1 darjah Celsius, suhu tertinggi yang pernah direkodkan di Jepun. Agensi Meteorologi Jepun berkata, suhu itu 12 darjah lebih panas daripada suhu kebiasaan pada musim panas di negara matahari terbit itu.
Suhu 41.1 darjah Celsius di Kumagaya itu melepasi rekod sebelum ini yang dicatatkan pada tahun 2013 iaitu 41 darjah Celsius di Shimanto.
Bandar Kyoto pula dilaporkan mengalami suhu 38 darjah Celsius selama tujuh hari berturut-turut, suhu panas berpanjangan paling lama dialami kawasan itu sejak kurun ke-19.
Guardian melaporkan, kepanasan suhu 39 darjah Celsius di Jepun boleh dirasakan seperti suhu 43 darjah Celsius dengan mengambil kira faktor lain seperti kelembapan.
CNN melaporkan, berdasarkan Kyodo News, sehingga Isnin lalu, seramai 44 orang telah dilaporkan mati akibat gelombang haba dengan Sabtu minggu lalu sahaja 11 orang dilaporkan mati dalam sehari.
Sesuaikan diri
Lebih 12,000 orang pula dimasukkan ke hospital kerana mengalami strok haba atau berkaitan dengannya.
Kebanyakan mereka yang meninggal dunia ialah warga emas termasuk dua pasang suami isteri berusia 70 tahun di Tokyo dan Osaka. Sebelum ini, dilaporkan seorang murid lelaki berusia enam tahun dari Aichi maut kerana strok haba sewaktu melakukan aktiviti luar darjah.
Jabatan Bomba Tokyo berkata, sebanyak 3,091 buah ambulans telah menghantar pesakit di bandar raya itu pada Sabtu lalu, ia merupakan khidmat ambulans terbanyak sehari sejak operasi perubatan kecemasan dimulakan jabatan itu sejak 1936.
Pihak berkuasa meramalkan suhu ekstrem iaitu melebihi 35 darjah Celsius berlaku di kebanyakan kawasan di pulau utama Honshu, Shikoku dan Kyushu. Hanya Hokkaido yang terselamat daripada ancaman gelombang haba.
Sinonim sebagai sebuah negara yang beriklim sejuk dan bersuhu rendah, rakyat Jepun sukar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca seperti itu.
“Saya tak pernah melalui musim panas sepanas ini. Sekarang baru Julai, saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada Ogos nanti,” kata seorang kerani di Tokyo, Tomoko Takemoto.
Seorang lelaki pekerja profesional teknologi maklumat, Atsuhiko Takahashi pula berkata: “Saya rasa seperti mahu pengsan. Ia terlalu panas, saya tidak boleh berdiri.”
Seorang wanita berusia 50 tahun di Gifu yang enggan dikenali menyifatkan kepanasan yang dirasainya seperti di sauna ketika merkuri termometer menunjukkan suhu 40.7 Celsius.
Strok haba
Presiden dan pengasas AccuWeather, Dr. Joel N. Myers berkata, AccuWeather, syarikat pengeluar ramalan cuaca global menjangkakan kematian akibat gelombang haba pembawa maut di Jepun sebenarnya sudah mencapai ratusan walaupun angka rasmi menyatakan hanya beberapa dozen.
“Seterusnya, kami menjangkakan bilangan kematian ini akan meningkat sehingga ribuan sebelum gelombang haba berakhir.
“Golongan warga emas dan mereka yang memerlukan penjagaan rapi seperti pesakit asma dan penyakit jantung akan menghadapi kesihatan yang merosot disebabkan cuaca ini.
“Penat kerana kepanasan dan strok, dehidrasi, migrain, kurang tidur dan perubahan mood boleh berlaku disebabkan haba berbahaya ini.
“Data sejarah menunjukkan lebih ramai orang akan terlibat dalam kemalangan kenderaan disebabkan impak ini, berikutan kekurangan keupayaan tumpuan, kurang tidur dan mood yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan oleh syarikat terbabit.
Tambah menyulitkan rakyat Jepun untuk menangani situasi itu ialah kerana kurangnya pendingin hawa untuk menyejukkan diri masing-masing.
“Jepun, sebagai sebuah negara yang jarang berdepan suhu tinggi, pendingin hawa bukan suatu kelaziman, bermakna, orang ramai tidak tahu lokasi sejuk untuk mereka menyelamatkan diri.
“Satu kaji selidik kerajaan Jepun pada tahun lalu mendapati, hanya 42 peratus daripada sekolah-sekolah di Jepun mempunyai pendingin hawa dan kebanyakan bangunan-bangunan apartmen tidak mempunyai sistem kawalan suhu berpusat,” lapor CNN.
Tabiat rakyat Jepun yang tidak gemar membazir juga telah menyebabkan mereka mengurangkan penggunaan pendingin hawa selama ini. Kekurangan tenaga elektrik yang tercetus sejak tahun 2011 akibat bencana nuklear Fukushima turut telah menyebabkan mereka mengurangkan had penggunaan pendingin hawa.
“Jika anda tidak mempunyai tenaga yang mencukupi, anda akan mudah kepenatan akibat panas, yang boleh menjadi serius dalam jangka masa yang singkat. Amat penting untuk tidak meninggalkan waktu makan dan mendapat tidur secukupnya,” kata Takashi Fukushima yang mengetuai sebuah klinik di Tokyo.
Fukushima berkata, pening merupakan gejala pertama kepenatan akibat panas yang seterusnya boleh melarat menjadi strok haba.
Cuaca panas melampau itu dilihat masih belum menunjukkan tanda akan surut dan ia dijangka berakhir sekitar Ogos.
Fenomena gelombang haba ini juga menimbulkan kebimbangan tentang Tokyo yang bakal menjadi tuan rumah sukan Olimpik 2020 yang akan berlangsung pada musim panas.
Awal pagi
Seorang profesor dari Universiti Tokyo, Makoto Yokohari yang mengkaji mengenai risiko gelombang haba yang akan didepani atlet maraton berkata, memulakan acara pada awal pagi mungkin lebih baik.
Yokohari berkata penganjur harus mengambil apa jua langkah untuk memperbaiki stuasi itu termasuk melakukan tindakan radikal memulakan maraton pada pukul 2 pagi atau memindahkan acara maraton ke Hokkaido.
“Namun, memandangkan kita akan melangsungkan perlumbaan itu pada pertengahan musim panas, tidak ada apa langkah pun dijamin dapat memastikan keselamatan,” katanya kepada Guardian.
Sementara itu, Guardian juga melaporkan banyak tempat di dunia turut memecahkan rekod kepanasan pada bulan ini.
Sebagai contoh, pada 5 Julai lalu, stesen cuaca Ouargla di Gurun Sahara di Algeria mencatatkan suhu 51.3 darjah Celsius sekali gus merupakan suhu terpanas yang pernah direkodkan benua Afrika.










