Suara pembangkang perlu kuat di Selangor - Utusan Malaysia

Suara pembangkang perlu kuat di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEPUTUSAN Pas tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dilihat telah mencetuskan pelbagai polemik yang memungkinkan bermulanya fasa baharu politik dengan menyaksikan kerjasama antara parti itu dengan Barisan Nasional (BN).

 

Walaupun timbul banyak kritikan di sebalik keputusan itu yang antara lain kononnya Pas tidak yakin dengan kemampuan untuk memenangi kerusi DUN itu, namun Pas mempunyai perancangan tersendiri dalam menentukan survival masa depannya yang ketika ini bersama-sama BN sebagai parti pembangkang.

Bagi mengupas pendirian itu, wartawan Mingguan Malaysia, ABDUL YAZID ALIAS menemuramah Pesuruhjaya Pas Selangor, SALLEHEN MUKHYI atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz bagi mendapatkan maklum balas apakah matlamat dan harapan sebenar parti itu dalam PRK berkenaan.
 

MINGGUAN: Banyak pihak mempersoalkan kewajaran Pas tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Sungai Kandis ini. Apa yang membuatkan pihak Ustaz membuat pendirian sedemikian?

Sallehen: Kita tidak letak calon di PRK Sungai Kandis salah satunya berasaskan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang memperlihatkan Pas berada di kedudukan ketiga daripada senarai calon yang bertanding di kerusi itu. Kerusi itu dimenangi PKR dengan majoriti besar 12,480 undi manakala tempat kedua BN dengan 11,518 undi, kita hanya dapat 7,573 undi sahaja.

Hari ini, Pas dan BN berada dalam blok pembangkang. Jadi kita merasakan perlunya suara pembangkang ini diperkuatkan untuk kepentingan rakyat yang mana Pas memutuskan untuk memberikan laluan kepada BN supaya wujudnya pertandingan satu lawan satu agar undi tidak pecah seperti yang berlaku dalam PRU-14, yang sebenarnya banyak merugikan kita.

Apakah Pas tidak bimbang dengan kritikan negatif yang dilemparkan oleh pelbagai pihak di sebalik keputusan itu?

Sallehen: Saya tahu ada pandangan serta telahan negatif dilemparkan kepada Pas berhubung soal itu, tetapi kita terima dengan sikap berlapang dada. Kalau Pas bertanding pun, ada pihak tetap akan maki hamun kita, begitulah juga keadaan sebaliknya.

Bagaimanapun, prinsip dan matlamat kita jelas untuk menguatkan suara pembangkang di Selangor yang berwibawa dalam melaksanakan semak dan imbang. Jika ditakdirkan BN menang dalam di DUN Sungai Kandis, ia tidak mengubah kedudukan Pakatan Harapan di Selangor, tetapi sekurang-kurangnya suara pembangkang dalam Dewan Negeri bertambah dan Pas juga pembangkang di Selangor.

Adakah PRK DUN Sungai Kandis ini permulaan Pas mengikat kerjasama politik dengan BN?

Sallehen: Keputusan Pas memberi laluan kepada BN dalam PRK ini bukan bermakna kita mengadakan kerjasama dengan parti itu. Sebagaimana saya katakan tadi kita mahu mengukuhkan suara pembangkang. Kita mahu PRK ini menjadi referendum rakyat untuk menilai hakikat perjalanan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Pada masa sama, kita tidak mengarahkan jentera parti untuk membantu kempen BN dalam PRK ini, tetapi kita memilih kebebasan kepada ahli serta penyokong kita untuk memilih calon yang terbaik bagi mereka. Yang penting pilihan mereka itu haruslah berasaskan pada kepentingan memelihara Islam, kedudukan orang Melayu serta tanggungjawab serta janji kepada rakyat.

Bagi Ustaz, apakah isu yang menjadi keresahan rakyat sejak Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran negara dan Selangor selepas PRU-14 pada Mei lalu ?

Sallehen: Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa ketika ini pun sudah ramai rakyat mula mempersoalkan pentadbiran Pakatan Harapan terutamanya dari segi pelaksanaan janji-janji manifesto. Kedengaran juga kerungsingan rakyat terhadap dasar pentabiran hari ini yang masih belum menangani isu kenaikan kos sara hidup, perumahan, keselamatan dan sebagainya.

Yang paling berat ketika ini ialah ada rakyat khususnya daripada kalangan orang Melayu dan Islam merasa terkilan kerana Pakatan Harapan seolah-olah tidak mengambil serius dalam isu penularan pemikiran liberalisme, ancaman akidah umat Islam, isu kedudukan bahasa Melayu dan pelbagai lagi.

Apa pandangan Ustaz terhadap calon yang bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis ini baik di pihak BN ataupun PKR?

Sallehen: Saya melihat masing-masing ada asas dan kelebihan. BN meletakkan Lokman sebagai calon dan saya lihat beliau mampu membawa suara rakyat lebih berkesan sebagai pembangkang. Cumanya saya nak ingatkan beliau jika menang, elakkan daripada mengikut budaya lompat parti atau menjadi wakil rakyat bebas seperti yang berlaku di Perak sebelum ini.

Bagi calon PKR, saya fikir Mohd. Zawawi Ahmad Mughni merupakan seorang yang mempunyai latar belakang yang baik. Kalau beliau menang kerusi DUN Sungai Kandis, maka tidak akan ada suara pembangkang yang kuat untuk memperjuangkan isu rakyat dan memastikan amalan semak dan imbang di Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN