SANDAKAN – Kegiatan memalsukan dokumen yang didalangi pasangan suami isteri akhirnya terbongkar dalam satu serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen Negeri (JIM) Sabah di Flat L Batu 2 Jalan Utara Sandakan di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 12.40 tengah hari itu, suspek lelaki, 31, dan isterinya berusia 28 tahun ditahan di sebuah premis Kedai Runcit A-R dekat sini.
Pengarah JIM Sabah, Musa Sulaiman berkata, kedua-dua suspek yang juga pemilik premis berkenaan telah melakukan kegiatan memalsukan dokumen secara tersembunyi di kedai milik mereka.
“Hasil maklumat awam dan risikan pihak JIM bertindak menahan dua suspek rakyat tempatan yang terlibat dengan kegiatan memalsukan dokumen di sekitar daerah ini.
“Serbuan di premis terbabit mendapati terdapat sebuah bilik khusus di dalam kedai runcit berkenaan yang dijadikan sebagai pusat menghasilkan dokumen palsu,” katanya di sini hari ini.
Musa berkata, pihaknya merampas sebuah set komputer, mesin pengimbas, mesin cetak dan peralatan pembuatan dokumen palsu.
“Suspek terlibat dalam memalsukan dokumen seperti pas visa, lesen dan beberapa dokumen lain berkaitan imigresen. Kita juga menemui resit imigresen palsu di lokasi yang sama,” katanya.
Tambahnya, suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan polis manakala wanita itu pula ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55d Akta Imigresen 1959/63 kerana membuat, memalsu dan meminda sesuatu dokumen dan Seksyen 51 (5) b Akta yang sama. -K! ONLINE










