SEREMBAN – Wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S.Streram yang gagal mendaftar sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hari ini menawarkan diri sebagai calon Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2018.
Menurut penyelaras DUN Rantau itu, ini merupakan pertama kali beliau bertanding bagi merebut jawatan yang bakal menyaksikan pertandingan enam penjuru.
“Ini kali pertama saya menawarkan diri sebagai calon untuk bertanding sebagai Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau dan saya berharap proses pemilihan ini nanti akan berjalan lancar.
“Kita mahu menyatukan penduduk di Rembau dan pada masa sama akan terus berusaha menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat PKR Negeri Sembilan di sini hari ini.
Kosmo! pada 28 April lalu melaporkan Streram gagal menyerahkan borang penamaan calon di pusat penamaan calon PRU-14 selepas tidak dibenarkan masuk ke Dewan Seri Rembau di Rembau kerana gagal mempamerkan pas calon yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun, pada 24 Mei lalu, akhbar ini melaporkan, beliau memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Seremban, sehari sebelumnya berhubung masalah yang tercetus itu.
Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Streram berkata, keputusan mengenai petisyen tersebut dijangka diketahui pada 8 Ogos ini dan beliau akan meneruskan hasrat bertanding di DUN Rantau jika keputusan mahkamah memihak kepadanya.
“Kita akan teruskan sebab saya dilantik secara rasmi sebagai penyelaras DUN oleh Menteri Besar dan akan bertanding di Rantau jika mahkamah menerima petisyen pilihan raya itu,” ujarnya. K! ONLINE










