TOKYO – Jepun mempunyai cukup plutonium untuk membina 6,000 bom atom sebagai sebahagian daripada program bahan api janakuasa nuklearnya, namun stok radioaktif tersebut dikhuatiri terdedah kepada pengganas dan bencana alam semula jadi.
Semalam, perjanjian berusia beberapa dekad bersama Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan Jepun memproses semula plutonium telah diperbaharui tetapi pakatan itu boleh ditamatkan oleh mana-mana pihak menerusi notis enam bulan.
Pemprosesan semula plutonium dapat menghasilkan bahan api bebas pencemaran baharu untuk Jepun yang kurang sumber tersebut, namun saiz simpanan plutoniumnya mengundang kritikan, bahkan oleh sekutu-sekutu Tokyo sendiri.
Plutonium boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear. Walaupun Jepun berjanji bahan api itu tidak akan sesekali digunakan untuk tujuan ketenteraan, ia kini mengumpulkan lebih banyak plutonium berbanding kegunaan semasa berikutan banyak janakuasa nuklearnya belum beroperasi selepas bencana alam di Fukushima pada tahun 2011.
Pakar-pakar memberi amaran bahawa stok yang semakin bertambah itu berbahaya jika berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami yang mengakibatkan kebocoran bahan radioaktif seperti di Fukushima di samping menjadi sasaran menarik kepada pengganas.
Mereka juga bimbang rizab plutonium itu akan menggalakkan kuasa serantau lain termasuk China untuk memiliki keupayaan pemprosesan semula yang setanding dengan Jepun sekali gus meningkatkan jumlah plutonium gred senjata di Asia.
Sesetengah pakar berkenaan turut memberi amaran bahawa Korea Utara mungkin menjadikan simpanan plutonium Jepun sebagai alasan untuk tidak melucutkan senjata nuklearnya.
Jepun mempunyai simpanan plutonium berjumlah 10 tan di dalam negara dan 37 tan lagi di Perancis serta Britain. – AFP










