CYBERJAYA – Statistik yang berintegriti, relevan dan mencukupi perlu dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan bagi memastikan setiap kementerian membuat keputusan-keputusan polisi yang betul bagi membolehkan kerajaan mencapai janji-janji manifestonya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, data yang berintegriti itu penting dalam penyediaan statistik tepat bagi memastikan negara mencapai agenda Matlamat Pembangunaan Mampan 2030 dalam masa 11 ke 12 tahun akan datang.
“Agenda 2030 ini untuk membantu membasmi kemiskinan dan mencapai pembangunan mampan berdasarkan kepada satu konsensus yang dicapai di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 25 September 2015.
“Bukan itu sahaja, statistik yang relevan juga diperlukan bagi membolehkan kerajaan mencapai janji-janji manifesto kami, sama ada dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Statistik Mensejahterakan Rakyat di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzair Mahidin.
Menurut Wan Azizah, dari hari ini hingga tahun 2030, kita juga memerlukan statistik-statistik ini bagi memantau kedudukan kita setiap tahun supaya kita berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut.
“Statistik yang diterbitkan Jabatan Perangkaan merupakan statistik rasmi yang dirujuk oleh pengguna statistik di peringkat domestik mahu pun antarabangsa.
“Penyediaan statistik rasmi yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan ditanda aras kepada standard atau piawai dan garis panduan penyusunan yang ditetapkan oleh badan statistik antarabangsa seperti PBB, Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa agar setanding dengan negara lain di dunia,” katanya. – K! ONLINE











