KUALA LUMPUR 20 Julai – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan mulai 1 September ini menyelamatkan rakyat daripada menanggung kos sara hidup yang tinggi.
Beliau berkata, dakwaan yang mengatakan harga barang akan meningkat akibat pelaksanaan SST itu disifatkan tidak benar.
“SST memang kurang membebankan rakyat kerana dari segi jumlah saja pun kita tahu. GST memungut RM42 bilion manakala SST akan memunggut RM20 bilion hingga RM25 bilion sahaja. Bermakna rakyat diselamatkan sebanyak RM20 bilion kerana kita amalkan SST.
“Dakwaan kononnya SST mnaikkan harga, itu tidak benar, tidak ada asas yang SST akan menaikkan harga kerana bukan jumlah SST itu sebanyak 16 peratus atau 10 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusi Mesyuarat Kepemimpinan Tertinggi Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengakui pelaksanaan SST akan membebankan pengguna namun kesannya hanya separuh, berbanding pelaksanaan GST.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, SST merupakan cukai seperingkat yang dikenakan ke atas pengilang dan bukannya pengguna, manakala GST adalah cukai pelbagai peringkat yang terpaksa dibayar dan dikutip pada setiap peringkat rantaian bekalan. – UTUSAN ONLINE










