SST: Pengguna bakal terbeban - Utusan Malaysia

SST: Pengguna bakal terbeban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Julai – Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan pengumuman kadar 10 peratus untuk jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan dijangka menyebabkan berlakunya fenomena kenaikan harga yang membebankan pengguna.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd. Aziz Abu Bakar
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd. Aziz Abu Bakar. -UTUSAN ONLINE

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd. Aziz Abu Bakar berkata, kenaikan harga barangan akan berlaku apabila terjadinya cukai berganda di mana margin keuntungan yang akan dikenakan kepada saluran perniagaan seperti pemborong dan peruncit adalah pada nilai harga selepas dikenakan cukai jualan 10 peratus.

“Katakanlah harga sesuatu barang itu RM10. Pengilang akan jual kepada pihak pemborong dengan nilai RM11 disebabkan cukai 10 peratus yang terpaksa ditanggung pengilang. Kemudian pemborong itu pula yang akan meningkatkan harga jualan kepada peruncit (bermula RM11) sehinggalah pengguna yang akhirnya terbeban.

“Itulah situasi cukai berganda yang dimaksudkan dan sekali gus harga barang memang akan meningkat naik. Itulah kelemahan SST,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan SST yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus bagi cukai perkhidmatan.

Guan Eng menambah, SST yang akan dimulakan semula pada September ini dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan bagi 2018 dan hasil tersebut akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 bilion selepas memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula Jun lalu.

Tambah Abd. Aziz, tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk membendung kos sara hidup dengan menghapuskan GST sebenarnya adalah satu tindakan salah.

“Dalam keadaan tiga bulan ini (setelah pemansuhan GST) harga barang tidak turun melainkan sesetengah sahaja. Dan bila nak perkenalkan SST semula, harga memang akan berlaku peningkatan.

“Peniaga akan ambil kesempatan dan yang untungnya hanyalah peniaga. Akhirnya yang terbeban adalah pengguna. Dalam hal ini pengguna harus membuat penilaian dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan harus bertanggungjawab kepada setiap masalah yang berlaku khususnya berkaitan soal peningkatan harga barang.

Ditanya mengenai kemampuan SST dalam membendung isu manipulasi harga, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan meninggalkan mekanisma lama dan perlu mempunyai mekanisma baharu serta efisyen.

“Macam mana kerajaan mahu elak ketirisan dan cukai berganda yang berlaku sekiranya tiada mekanisma baharu. Kalau nak tolong rakyat dan pengguna, memang perlu ada mekanisma baharu.

“Sebab itu MATA dari dulu sokong GST. Tetapi kerajaan kini tetap mahu melaksanakan SST dan kami (MATA) bersetuju dengan syarat iaitu perlu ada mekanisma baharu. Namun, setakat ini masih belum ada apa-apa mekanisma baharu daripada kerajaan,” tambah beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN