SST dorong kenaikan harga - Utusan Malaysia

SST dorong kenaikan harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Julai – Kutipan kerajaan terhadap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lebih rendah berbanding cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak boleh dijadikan anologi kononnya beban rakyat berkurangan.

Menurut pakar, kutipan GST sebanyak RM42 bilion dan SST sebanyak RM25 bilion hanya merupakan pengurangan pendapatan kerajaan, bukannya jumlah pengurangan harga barangan oleh peniaga.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Saizol Ismail berkata, kebanyakan peniaga tidak menurunkan harga barangan sewaktu kadar GST menjadi sifar bermula 1 Jun lalu.

Katanya, menjadi kerisauan sekiranya peniaga menambahkan pula kadar SST terhadap harga barangan yang dikekalkan itu.

“Tidak begitu nampak impak daripada pengumuman kadar GST kosong peratus. Kita risau peniaga mengenakan SST pula terhadap harga barangan yang dikekalkan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, SST kurang membebankan rakyat berbanding GST kerana menurutnya dari segi jumlah kutipan, SST hanya memungut RM20 bilion hingga RM25 bilion berbanding RM42 bilion pungutan GST.

Sementara itu, Profesor Ekonomi dari Kajian Perniagaan Universiti Sunway, Prof. Yeah Kim Leng berkata, sukar untuk menjelaskan pengurangan kutipan kerajaan daripada RM42 bilion kepada RM25 bilion akan menurunkan harga barangan kerana pelbagai faktor perlu diambil kira.

Menurutnya, faktor itu termasuklah adakah sesuatu barangan itu sebelum ini dikenakan cukai atau tidak serta bagaimana peniaga memindahkan kesan cukai kepada harga jualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN