KUALA LUMPUR – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka ditetapkan pada kadar 10 peratus bagi jualan dan enam peratus untuk perkhidmatan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar tersebut akan digunapakai jika usul yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Ogos depan itu diluluskan.
“Pelaksanaan semula SST pada 1 September ini diunjurkan mampu menjana perolehan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada acara Persidangan Cukai Kebangsaan 2018 (NTC 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah dan Presiden Institut Percukaian Bertauliah Malaysia, Seah Siew Yun.
Malaysia sebelum ini menggunapakai kadar SST yang sama sebelum sistem percukaian tersebut dihapuskan dan digantikan dengan GST bermula April 2015 pada kadar enam peratus.
Kerajaan Pakatan Harapan bagaimanapun memansuhkan GST dan menetapkannya pada kadar sifar untuk tempoh tiga bulan bermula Jun lepas, sekali gus bakal menggantikannya semula dengan SST pada 1 September ini.
Menurut Guan Eng, dengan pelaksanaan GST berkadar sifar bermula Jun lepas, kerajaan persekutuan menjangkakan kehilangan perolehan bernilai RM21 bilion pada tahun ini.
“Bagaimanapun, pengenalan semula SST, kenaikan harga minyak mentah dunia serta dividen tambahan daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan akan memberikan perolehan tambahan bernilai RM14.4 bilion kepada kerajaan untuk tahun 2018,” ujarnya.
Dalam pada itu, acara NTC 2018 yang bertemakan Taxation in A Changing Economy itu membincangkan pelbagai isu percukaian semasa termasuk ekonomi Malaysia, cabaran dan strategi LHDN, mata wang kripto dalam ekonomi digital, isu-isu dalam audit cukai serta siasatan.










