SST: Cukai jualan 10%, perkhidmatan 6% - Utusan Malaysia

SST: Cukai jualan 10%, perkhidmatan 6%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai – Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dibentang di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus untuk cukai jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jika akta tersebut diluluskan, pelaksanaan SST akan bermula 1 September ini.

“SST akan dimulakan semula pada bulan September ini dan dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini.

“Hasil ini akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian kerajaan sebanyak RM21 bi­lion selepas memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula Jun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

Guan Eng menambah, selain daripada pelaksanaan SST, kerajaan juga dijangka memperoleh pendapatan tambahan sebanyak RM14.4 bilion tahun ini hasil pe­ningkatan harga minyak mentah dan dividen tambahan daripada syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

“Untuk menutup kerugian ke­rajaan daripada pemansuhan GST, Kementerian Kewangan telah me­ngenal pasti penjimatan perbelanjaan sebanyak RM10 bilion.

“Langkah ini termasuk menangguhkan, mengkaji semula serta membatalkan projek mega serta program-program yang tiada keperluan untuk dibuat dengan cepat. Ini termasuk projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang mana kita telah berjaya kurangkan kos sebanyak RM15 bilion,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng ber­kata, kerajaan tidak lagi membenarkan LHDN menggunakan pendekatan yang keras dan kasar dalam usaha mengutip cukai.

“Kerajaan berjanji untuk tidak lagi menyerbu syarikat yang mengelak membayar cukai dengan anggota keselamatan bersenjata.

“Kita akan menggunakan cara lebih bertoleransi. Ini bukan bermaksud kerajaan tidak tegas dalam mengutip cukai sebaliknya kita akan serahkan kepada undang-undang sekiranya mereka tidak mahu membayar cukai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN