KUALA LUMPUR 17 Julai – Pemaju utama projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak iaitu Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) telah memfailkan saman terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim, berhubung kenyataan yang dibuat terhadap syarikat tersebut yang didakwa berunsur fitnah.
![]() |
|
Datuk Seri Razali Ibrahim
|
SPSB dalam satu kenyataan menyatakan, pihaknya memfailkan tindakan saman itu terhadap bekas Ahli Parlimen Muar itu di Mahkamah Tinggi di sini semalam menerusi firma guaman, Tetuan Reza Rahim & Rajivan.
Syarikat itu mendakwa, kenyataan Razali telah mencemarkan reputasi SPSB dan tidak berasas.
Sehubungan itu, SPSB menuntut supaya Razali memohon maaf dan membayar ganti rugi namun beliau gagal dan enggan mematuhi notis tersebut.
Justeru itu, SPSB memohon perintah injunksi supaya Razali dihalang daripada daripada mengulangi dan menerbitkan kenyataan berunsur fitnah selain menuntut supaya beliau membayar ganti rugi RM100 juta dan memohon maaf berdasarkan terma yang dipersetujui SPSB.
Pada 4 Jun lalu, SPSB menyaman Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM100 juta berhubung beberapa siri kenyataan yang dibuat terhadap syarikat pemaju tanah Felda di Jalan Semarak tersebut yang didakwa berunsur fitnah.
Saman tersebut difailkan oleh Pengarah Pembangunan Perniagaan syarikat itu, Datuk Marina Hashim melalui firma guaman Tetuan Reza Rahim & Rajivan. – UTUSAN ONLINE











