KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak hari ini telah menahan lima individu termasuk dua Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara (BTN) selepas disyaki membuat tuntutan palsu sebanyak RM600,000 pada 2016.
Kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 4.30 petang di Pejabat SPRM Sarawak ketika hadir untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, tiga daripada individu terbabit pernah berkhidmat di BTN Sarawak, namun kini telah berpindah ke jabatan lain serta bersara.
Kata sumber, mereka dipercayai telah bersubahat dengan 43 buah syarikat di seluruh Sarawak dengan mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja.
“Jumlah tuntutan bagi satu-satu kerja berjumlah antara RM2,000 hingga RM6,000.
“Kesemua pembayaran telah dibuat ke beberapa akaun pemilik syarikat pada tahun 2016 dan kelima-lima suspek dipercayai mengambil keuntungan daripada setiap syarikat yang dipilih oleh mereka,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber, siasatan juga mendapati kira-kira 70 peratus perkhidmatan atau pembekalan yang telah dilakukan oleh syarikat-syarikat terbabit kepada pihak BTN adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh tersebut.
“Kelima-lima suspek yang mempunyai kawalan ke atas akaun BTN disyaki telah menggunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi,” ujar sumber lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Razim Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.
Menurut beliau, SPRM Sarawak kini dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berhubung pembayaran yang dibuat itu.
“Kelima-lima suspek ditangkap bagi membantu siasatan awal mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Kesemua suspek dijangka direman di Mahkamah Majistret Kuching di sini esok,” katanya. K! ONLINE











