KUALA LUMPUR 24 Jul. – Negara ini memerlukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk membendung aktiviti yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan rakyat.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, langkah kerajaan untuk memansuhkan akta itu hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak provokasi terhadap isu-isu sensitif, jenayah terancang, penyeludupan manusia dan kes yang berkaitan dengan keganasan.
Katanya, ini disebabkan tidak ada akta yang lebih sesuai atau lebih efektif untuk membendung gejala berkenaan.
Menurut beliau, jika berlaku penyalahgunaan terhadap akta tersebut, pegawai atau pemimpin terbabit yang perlu dihukum bukannya memansuhkan akta berkenaan.
“Alasan akta berkenaan zalim terhadap rakyat juga tidak betul kerana kaedah penguatkuasaannya memerlukan pesalah disiasat oleh pihak polis dalam tempoh 24 jam, jika tidak selesai, pegawai berpangkat Superintenden boleh lanjutkan tidak lebih 28 hari.
“SOSMA tidak sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang memberi kuasa kepada menteri (untuk mengeluarkan arahan tangkapan).
“Jadi, sekiranya terdapat mana-mana pegawai kerajaan yang menyalahgunakan kuasa, mereka sepatutnya ditahan bukannya akta SOSMA itu dimansuhkan,” katanya ketika ditemui Utusan Online hari ini.
Sehubungan itu Musa mengkritik idea pemansuhan SOSMA kerana beliau menyifatkan tiada undang-undang lain yang lebih lembut boleh diambil terhadap pesalah dibawah akta berkenaan.
“SOSMA bukanlah akta yang zalim, tahanan perlu dituduh dan dibicarakan di mahkmamah sebelum dijatuhkan hukuman. Bukannya tahan tanpa bicara.
“Sekiranya SOSMA dimansuhkan, adakah kerajaan perlu mewujudkan akta lebih lembut dan menepati hak asasi manusia untuk menangkap pesalah yang menggugat kenteraman awam dan keselamatan negara.
“Orang yang ditahan di bawah SOSMA mempunyai peluang untuk diwakili peguam selepas siasatan dilengkapkan,” jelasnya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan SOSMA kerana dipercayai akta berkenaan bersifat zalim kepada rakyat.
Beliau berkata, SOSMA membenarkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa dibawa ke mahkamah.
SOSMA diwujudkan pada 22 Jun 2012 oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan ISA yang dimansuhkan pada 15 September 2011 selepas ditubuhkan pada 1960.
Berbanding SOSMA, ISA mengenakan tindakan yang lebih tegas iaitu pesalah boleh ditahan polis selama 60 hari tanpa perbicaraan dan boleh dilanjutkan sehingga dua tahun dengan kebenaran Menteri Dalam Negeri.
Manakala SOSMA pula lebih menepati hak asasi manusia apabila pesalah ditahan dalam tempoh hanya 24 jam untuk penyiasatan dan boleh dilanjutkan tidak lebih 28 hari.
– UTUSAN ONLINE










