Sokong pemerkasaan institusi zakat - Utusan Malaysia

Sokong pemerkasaan institusi zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) telah memanggil beberapa buah institusi pengurusan zakat di Malaysia bagi tujuan mendapatkan pandangan untuk penambahbaikan.

Melalui pemerkasaan institusi pengurusan zakat, ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan khususnya dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Zakat adalah salah satu daripada sistem yang disyariatkan oleh Allah SWT bagi tujuan memberi jaminan hidup kepada golongan asnaf khususnya golongan fakir dan miskin.

Sabagaimana sabda Nabi SAW; “Allah mewajibkan zakat ke atas harta orang-orang kaya dari kaum muslimin, dengan kadar yang dapat memberikan jaminan kepada orang-orang miskin dalam kalangan mereka.

Golongan fakir dan miskin tidak akan menderita kelaparan dan kesulitan makanan, melainkan disebabkan perbuatan golongan kaya. Ingatlah bahawa Allah akan menghisab dan menyiksa mereka dengan azab yang pedih akibat daripada perbuatan mereka itu.”

Berdasarkan sabda Nabi SAW ini dapat kita fahami bahawa sistem zakat adalah satu sistem yang dapat memberi jaminan kepada golongan fakir dan miskin di mana tidak akan ada golongan yang tidak makan dan minum melainkan disebabkan masih ada orang kaya yang tidak menunaikan zakat.

Di Malaysia, sebahagian besar penerima zakat dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah (B40) manakala sebahagian besar golongan pembayar zakat pula terdiri daripada golongan berpendapatan pertengahan (M40) dan berpendapatan tinggi (T20).

Kami menyambut baik hasrat MPK untuk memperkasakan hal ehwal kutipan dan agihan zakat di Malaysia.

Sekiranya kutipan zakat meningkat, maka secara tidak langsung dapat membantu golongan asnaf mengikut negeri masing-masing.

Selain itu, bagi tujuan penyebaran hasil secara lebih adil, diharapkan MPK juga dapat mencadangkan kepada agensi-agensi korporat dapat mengagihkan zakat ke setiap negeri melalui institusi zakat masing-masing berdasarkan perniagaan agensi di negeri terbabit.

Hal demikian kerana, pada masa kini pembayaran zakat sebahagian agensi korporat lebih tertumpu di Lembah Klang tanpa melihat pusat zakat di negeri-negeri lain sehingga menyebabkan jurang pendapatan begitu jauh antara negeri-negeri ini.

Bagi negeri-negeri berasaskan pertanian, sudah tentu hasil zakat jauh lebih rendah daripada negeri-negeri yang menjadi pusat perindustrian dan tumpuan pentadbiran dan perdagangan.

Saranan ini adalah bagi merealisasikan hasrat pengagihan kekayaan diagihkan secara sama rata kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negara.

MOHD. FAISAL MUSTAFFA

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif 
Operasi Dakwah & Kutipan 
Lembaga Zakat Negeri Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN