SMK Tuanku Lailatul Shahreen kutip RM20,000 sumbangan - Utusan Malaysia

SMK Tuanku Lailatul Shahreen kutip RM20,000 sumbangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen di sini, berjaya mengumpul sebanyak RM20,000 hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk jualan meja Majlis Makan Malam Amal Jalinan Kasih yang diadakan di sekolah itu semalam.

Majlis yang berlangsung meriah itu dihadiri seramai 600 tetamu termasuk oleh Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Pengarah Pendidikan negeri, Izmi Ismail.

Menurut pengetua sekolah itu, Hayazi Abdullah, majlis tersebut adalah inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Lailatul Shahreen bagi menghargai jasa, sumbangan dan penglibatan ibu bapa, guru, murid, persatuan alumni sekolah, jabatan kerajaan dan masyarakat setempat dalam membantu sekolah menjayakan pelbagai program yang diatur sepanjang tahun.

Katanya, selain itu, majlis tersebut juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi menaik taraf serta menambah baik kemudahan sukan yang sedia ada di sekolah berkenaan.

“Hal ini amat penting diuruskan dengan sempurna supaya proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berupaya mengikut sukatan pelajaran sedia ada dan tidak
terganggu. Ia juga sebahagian daripada usaha sekolah bagi melahirkan jagoan sukan di masa hadapan di pelbagai peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Hayazi, pihaknya menyeru kepada mana-mana individu, syarikat atau korporat agar menyumbang kepada sekolah melalui tabung PIBG.

“Bagi pihak sekolah, kami bersedia menerima apa sahaja bentuk sumbangan yang bermanfaat kepada sekolah dan boleh digunakan oleh pelajar bagi tujuan pembelajaran serta pembangunan insaniah pelajar yang terlibat,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, SMK Tuanku Lailatul Shahreen ditubuhkan pada 1 April 2010 dengan keluasan keseluruhan lebih tujuh hektar yang menempatkan bangunan akademik, makmal dan bangunan pentadbiran.

Sekolah tersebut kini mempunyai lebih 500 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5 dengan 48 orang tenaga pengajar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN