SMART Humanity Night kutip dana untuk pelarian Syria - Utusan Malaysia

SMART Humanity Night kutip dana untuk pelarian Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib pelarian Syria yang terjejas akibat peperangan telah memberi idea kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care untuk menganjurkan program SMART Humanity Night bagi mengumpul dana.

Bakal berlangsung pada 28 Julai ini pada pukul 8 malam, program tersebut mendapat kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat.

Ia akan diadakan di Anjung Bestari SMK Taman Keramat dengan menampilkan persembahan daripada kumpulan Rabbani, Khai Bahar, Pencetus Ummah (PU) Helmi dan Jay Nazif.

Menurut anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz, selain menyumbang kepada rakyat Syria, sebahagian daripada dana yang berjaya dikumpul akan digunakan untuk pembangunan fizikal sekolah tersebut.

“Pembangunan fizikal sekolah termasuklah penambahbaikan pusat sumber, surau pelajar dan bilik guru serta pemulihan Dewan Amal untuk aktiviti kurikulum.

“Hal ini kerana persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat menimbulkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah seterusnya mencipta kecemerlangan dalam pembangunan modal insan yang berguna kepada generasi pada hari ini,” kata Azadan.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan menerusi pembelian meja untuk menyaksikan persembahan pada malam program atau menerusi akaun Maybank PIBG SMK Taman Keramat (012183101690).

Tiket dijual pada harga RM100 hingga RM500.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Rohana Megat di talian 013-650 3244. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN