PUTRAJAYA 19 Julai – Skim Pembiayaan Bersama yang bakal dijalankan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan MBSB Bank Berhad akan menawarkan pembiayaan perumahan bersama antara suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Datuk Kamal Mohd. Ali berkata, pembiayaan bersama itu boleh dilaksanakan dengan syarat sekurang-kurangnya salah seorang daripada pemohon bersama tersebut adalah kakitangan sektor awam.
Beliau berkata, tujuan utama skim berkenaan adalah untuk membantu peminjam terutama kakitangan sektor awam untuk memperoleh jumlah pembiayaan yang lebih tinggi berbanding secara individu sekali gus memberi ruang untuk pembelian rumah kediaman lebih selesa.
Selain itu katanya, skim pembiayaan berkenaan dapat membantu kakitangan sektor awam mengurangkan komitmen bulanan pembiayaan dengan bayaran balik pembiayaan dikongsi antara peminjam bersama.
“Matlamat skim ini adalah untuk memberi peluang bagi isi rumah untuk mencapai impian memiliki rumah yang pertama mereka.
“LPPSA sentiasa membuka peluang kerjasama kepada institusi kewangan yang lain bagi memudahkan dan membantu kakitangan sektor awam memiliki rumah kediaman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangan Memorandum Persefahaman (MOU) antara LPPSA dan MBSB Bank Berhad berkaitan skim berkenaan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar. – UTUSAN ONLINE









