SJKC perlu dihapuskan - Pas - Utusan Malaysia

SJKC perlu dihapuskan – Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 9 Julai – Pas menyarankan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya menghapuskan semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekolah itu dilihat tidak mencapai hasrat menyatupadukan semua kaum di negara ini.

“Dalam konteks kemajmukan bangsa yang ada di negara ini, saya lihat SJKC mahupun sekolah yang berasaskan kaum tidak mencapai tujuan serta makna perpaduan. Ini kerana, kita perlu membina sebuah negara muafakat, kalau soal pertahan ‘bahasa’ kita hormat kerana bahasa jiwa bangsa, malah bahasa juga penting supaya tidak hilang budaya sesuatu kaum.

“Selepas 60 tahun merdeka, kita perlu berpegang teguh dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN) kerana hala tujunya adalah demi menggapai perpaduan negara,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan tazkirah sempena Kuliah Bulanan Wanita di Balai Islam Lundang, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Wanita negeri, Mumtaz Md. Nawi dan Selebriti Dakwah, Yatt Hamzah.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mahu isu berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dapat diselesaikan secepat mungkin supaya pemegang sijil berkenaan dibenarkan memasuki perkhidmatan awam.

Tindakan itu seolah-olah memperlekehkan perlembagaan negara malah dilihat akan menggagalkan usaha menyatupadukan rakyat menerusi pendidikan.

Mengulas lanjut tentang isu UEC, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berpandangan, mana-mana dasar yang ingin diperkenalkan mestilah selari dengan DPN dan tidak bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 yang secara jelas menggariskan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

“Pas berpegang teguh dengan DPN sebab isu UEC secara jelas tidak selari dengan perlembagaan negara. Mana-mana dasar yang tidak selari, tidak perlu diraikan mahupun diberi pengiktirafan. Malah, apa-apa polisi yang diperkenalkan tidak boleh carba merba dengan dasar sedia ada.

“Sekalipun timbul isu tentang soal pendidikan agama, ia adalah teras kerana tidak bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN