Sivasangari tekad pertahan trofi - Utusan Malaysia

Sivasangari tekad pertahan trofi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEKATAN berbeza bakal menjadi senjata sulit juara bertahan, S. Sivasangari dalam usahanya menambah kekecewaan pemain senior, Low Wee Wern di pentas separuh akhir Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy National, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Atlet berusia 19 tahun itu sedar kejayaannya menidakkan impian Wee Wern merangkul juara kebangsaan pada minggu lalu akan menjadi pembakar semangat kepada bekas pemain No. 5 dunia itu untuk mematahkan langkahnya.

Bagaimanapun, anak jati Kedah tersebut melihat kelebihan berada di pihaknya memandang­kan Wee Wern terpaksa berhempas pulas sejak pusingan kelayakan yang sudah tentu memakan staminanya.

“Walaupun tahap stamina saya mungkin lebih baik memandangkan Wee Wern perlu melalui pusingan kelayakan selain menghadapi dua perlawanan sengit selepas itu, saya yakin dia akan berhabis-habisan esok (hari ini).

“Saya berharap permainan tidak berlarutan sehingga lima set. Dari aspek tekanan sama dengan minggu lalu, namun saya dapat mengawalnya dengan baik. Paling penting, saya tidak terlalu membebankan dirinya.

“Kami baru sahaja berentap minggu lalu. Saya akan tengok kembali video analisis dan berbincang dengan jurulatih mengenai strategi baharu agar dapat beri pendekatan berbeza pada perlawanan kali ini,” ujarnya.

Pada perlawanan suku akhir semalam, Sivasangari mudah menumpaskan pemain Hong Kong, Lee Ka Yi 11-6, 11-5, 11-6, manakala Wee Wern yang telah menjunam ke ranking 254 mengejutkan, Liu Tsz-Ling 10-12, 11-6, 11-6, 11-2.

Dalam pada itu, Wee Wern yang terlepas slot perseorangan wanita di Sukan Asia setelah tewas di final kejohanan kebangsaan minggu lalu menganggap Terbuka Malaysia sebagai permulaan baik untuk mengejar semula rankingnya.

“Secara peribadi, saya berada dalam keadaan baik. Saya telah menewaskan dua pemain yang berada di kedudukan ke-50 terbaik dunia. Ini membuktikan bahawa saya kini berada di landasan yang tepat,”ujar Wee Wern.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN