Siti sekat pengikut biadab - Utusan Malaysia

Siti sekat pengikut biadab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 16 Julai- Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak teragak-agak untuk menyekat pengikut laman sosial yang meninggalkan komen tidak enak dalam laman Instagram miliknya.

SITI NURHALIZA membuat keputusan untuk menyekat pengikut laman sosialnya yang biadab.

Jelasnya dalam hal ini beliau yakin komen negatif yang ditinggalkan menggambarkan niat sebenar seseorang itu.

“Saya tidak kisah jika ada yang meninggalkan komen membina dan erti kata lain memberi nasihat dengan cara yang betul.

“Tetapi saya akan menyekat terus mereka yang meninggalkan komen negatif sebab memang boleh tahu niat dia tidak baik,” katanya sebentar tadi sempena pelancaran kosmetik Gold Edition dibawah jenama kosmetik miliknya SimplySiti.

Kongsi Siti Nurhaliza, 39, dalam waktu yang sama juga beliau turut mengehadkan perkongsian gambar anaknya Siti Aafiyah, 4 bulan, dalam Instagram.

“Apa sahaja yang dimuat naik walaupun perkara baik tetap akan dikritik.

“Suami saya juga menasihati agar tidak terlalu berkongsi gambar anak kami dalam laman sosial sebab tahu ada sahaja yang tidak kena,” katanya lagi.

Sementara itu bercakap mengenai perniagaan kosmetik SimplySiti yang kini berusia lapan tahun, penyanyi ini memberitahu produknya itu akan dipasarkan ke negara jiran, Indonesia.

“Produk saya akan dipasarkan ke Indonesia tidak lama lagi. Ini juga satu perkembangan yang baik untuk perniagaan saya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN