IPOH 15 Julai – Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail akan berlapang dada sekiranya tidak dipilih menjadi Penasihat Menteri Besar Perak.
Menurutnya, tujuan beliau membangkitkan perkara tersebut kepada umum adalah disebabkan ia berkait dengan isu parti dan bukan jawatan milik individu.
Siti Aishah yang mahu perkara tersebut diselesaikan secepat mungkin berkata, beliau tidak mahu dilihat sebagai mendesak tetapi tegurannya bertujuan supaya kepemimpinan Pakatan Harapan negeri bersifat lebih matang, terbuka dan boleh
dikritik oleh golongan muda sepertinya yang mahukan perubahan kepemimpinan dalam era ‘Malaysia Baharu.
“Seandainya Majlis Pakatan Harapan Perak memikirkan tidak mahu melihat saya berada di posisi itu, saya masih mahu ia diberikan kepada kepemimpinan lain dalam PKR kerana keseimbangan perlu ada dalam rakan-rakan Pakatan Harapan Perak.
“Saya lihat PKR hanya memiliki dua kerusi exco dalam kerajaan negeri, jadi saya rasa tidak salah kalau kita tambah, walaupun bukan saya yang duduk dalam kepemimpinan kerajaan negeri bagi membantu kerana ini ialah kerajaan bersama yang kita bina atas inisiatif rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di kediaman keluarganya di Taman Pinji Perdana di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










