Sindiket haiwan 
liar ditumpaskan - Utusan Malaysia

Sindiket haiwan 
liar ditumpaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 15 Julai – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan haiwan liar yang beroperasi sejak 2010 dalam serbuan berasingan pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas tulang dan bahagian tubuh haiwan seberat 37.3 kilogram bernilai kira-kira RM1 juta.

Menurutnya, dalam dua serbuan itu, seramai lima lelaki warga tempatan berusia antara 29 hingga 72 tahun ditahan.

“Rampasan ini membabitkan haiwan yang dilindungi antaranya harimau, gajah, beruang, kambing gurun dan landak.

“Sindiket ini dipercayai sudah beroperasi sejak 2010 dan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum menyeludup barangan itu ke China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. dan Pengarah Perhilitan negeri, Jamalun Nasir Ibrahim.

Zulkifli memberitahu, serbuan itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggotanya dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri.

Ujarnya, pihaknya akan be­kerjasama dengan polis Indonesia dan China dalam memastikan sindiket ini dapat dilumpuhkan sepenuhnya.

“Siasatan awal mendapati haiwan ini diseludup masuk dari Indonesia dan akan dihantar ke China bagi tujuan perubatan.

“Oleh itu, kita akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dari kedua-dua negara berkenaan bagi menjalankan siasatan berhubung kes ini,” katanya.

Tambah Zulkifli, ini adalah tangkapan kedua terbesar membabitkan hidupan liar di negara ini dalam tahun ini selepas serbuan terdahulu di Grik, Perak dan kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN