SANDAKAN – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sebuah perhentian bas di Perhentian Bas Ekspres Bandar Letat di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 2.15 petang itu, polis menahan dua suspek berusia lingkungan 30-an dan merampas sebuah beg yang mengandungi syabu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek membawa syabu seberat 1.01 kilogram dengan anggaran bernilai RM65,000 di pasaran tempatan.
“Hasil risikan dan maklumat awam, kita menahan dua suspek yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah.
“Tangkapan terhadap seorang rakyat tempatan dan warga Indonesia itu membawa kepada penemuan ketulan hablur halus dipercayai sebagai syabu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Azhar berkata, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










