PUTRAJAYA 26 Julai – Bintang kelahiran Mentor 3, Keena Prasista, 31, bukan sahaja semakin berani berimej seksi menerusi foto pada laman media sosialnya, bahkan tanpa segan silu melakukan aksi ghairah dan berahi.
Maka, tidak hairanlah jika ada antara pengikut Instagram penyanyi dan pelakon berkenaan begitu lantang mengecam tindakan pemilik nama sebenar Suriana Abdul Wahab itu termasuk menggelarnya dengan gelaran tidak senonoh.
Pun begitu, Keena sewaktu dihubungi menegaskan, penampilannya itu bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudah sekian lama berimej sedemikian.
“Sejak tamat program Mentor 3 pada 2009, itulah gaya saya ketika hendak keluar bersiar-siar terutama ketika melakukan aktiviti harian, tetapi tidaklah sampai mendedahkan bahagian tubuh yang dikategorikan sulit.
“Jika pergi ke majlis formal atau acara hiburan, selalunya saya akan pakai mengikut kesesuaian tema dan tidak terlalu seksi.
“Saya masih waras dan ada kesedaran untuk menghormati majlis serta pihak penganjur yang mengundang,” katanya kepada Utusan Online.
Sejak kebelakangan ini, bekas protege kepada Datuk Awie itu kerap memuat naik gambar pada laman sosial dan disebabkan hal itu, Keena beranggapan khalayak mula bercakap mengenai dirinya.
“Sebelum ini saya jarang muat naik gambar. Sebab itulah mereka tidak perasan bahawa imej saya dari dulu sampai sekarang sama sahaja, tidak berubah.
“Apapun, saya tidak mahu bersikap hipokrit dalam bab berpakaian kerana ini adalah diri saya seadanya,” jelas Keena menetapkan pendirian. – UTUSAN ONLINE










