MARANG 22 Julai – Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia(JBPM) menjangkakan masa yang lebih lama akan diambil dalam siasatan mengenal pasti punca kebakaran tiga tangki minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company(KBC) pada 5 Julai lalu.
Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, kebakaran terbesar dalam sejarah industri di negeri ini menyukarkan pihaknya mengesan bahan bukti bagi mengenal pasti puncanya dan membuat rumusan dalam waktu yang singkat.
Beliau menarik perhatian, pihaknya juga tidak akan berkompromi jika terdapat sebarang unsur kecuaian dalam kes terbabit dan tindakan mengikut Akta 341, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 boleh diambil.
“Oleh sebab kebakaran ini cukup besar, ia menyukarkan kita mencari bukti-bukti tetapi kita percaya dengan keupayaan yang ada pada Bahagian Siasatan Jabatan Bomba akan mengenal pasti punca dan membuat rumusan dalam laporan eksekutif tentangnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menyempurnakan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Sains Kebombaan dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, dekat sini hari ini.
Sementara itu, seramai 201 pelatih menyertai latihan kebombaan selama empat bulan setengah di akademi berkenaan menerima sijil masing-masing.
Mereka akan bertugas di balai bomba di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor bermula 31 Ogos ini sebagai permulaan penempatan kerja.
Dalam majlis itu, Muhammad Jazli Hafiz Jafar Jafari menerima Anugerah Menteri (Terbaik Keseluruhan) dan Shahrul Balqiar Abd Rahman menerima Anugerah Ketua Setiausaha (Teori Terbaik) manakala Amin Aizat Kamarudin pula menggondol Anugerah Ketua Pengarah (Praktikal Terbaik). UTUSAN ONLINE










