Siapa tiga lagi menteri? - Utusan Malaysia

Siapa tiga lagi menteri?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Julai – Seperti dijangkakan, pengu­muman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa tiga lagi menteri bakal dilantik dalam kalangan senator selepas mengangkat sumpah di Dewan Negara mengundang pelbagai spekulasi.

Banyak pihak, khususnya pe­merhati politik sudah mula mencongak beberapa nama kepe­mimpinan Pakatan Harapan yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai calon.

Antara yang disebut-sebut ialah Naib Presiden Amanah, Husam Musa dan Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua nama pemimpin itu timbul selepas Presiden Amanah, Mohamad Sabu menzahirkan kepercayaan kerajaan tidak akan melupakan kepemimpinan parti itu dari Kelantan dan Terengganu meskipun kalah pada PRU-14.

Menteri Pertahanan itu juga dipetik berkata, sekurang-ku­rangnya seorang senator yang menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri adalah dari negeri pantai timur tersebut.

Nama lain yang turut kede­ngaran ialah Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang sa­ngat dihormati dalam kalangan kepemimpinan parti itu dan me­rupakan antara strategis utama Pakatan Harapan menawan Johor daripada Barisan Nasional (BN).

Chin Tong yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kluang tewas kepada Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam perebutan kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU-14 lalu.

Lebih-lebih lagi, Chin Tong sememangnya telah diumumkan sebagai calon menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada PRU-14.

Jadi, tidak mustahil beliau merupakan antara ‘calon pilihan’ untuk mengisi salah satu slot se­nator yang bakal dilantik sebagai menteri Kabinet.

Selain itu, difahamkan, DAP masih menaruh harapan seorang lagi kepemimpinannya iaitu Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mengisi jawatan menteri sebagaimana telah diumumkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika berkempen pada PRU-14.

Selain itu, yang menarik perhatian ialah sama ada Peguam Negara, Tommy Thomas juga merupakan antara yang bakal dilantik sebagai senator untuk diangkat menjadi menteri.

Hal ini kerana, berdasarkan manifesto Pakatan Harapan, jelas tertera antara janji dikemukakan ialah Peguam Negara akan dilantik dalam kalangan ahli Parlimen berkelayakan dan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Bagaimanapun, ini hanyalah spekulasi dalam kalangan pemerhati politik, siapa yang bakal dilantik menyertai Kabinet Dr. Mahathir, sama-samalah kita tunggu dan lihat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN