KUALA LUMPUR 25 Julai – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menilai tiga pemain perseorangan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing dan Tan Jia Wei bagi menggantikan tempat Datuk Lee Chong Wei, yang terpaksa digugurkan daripada skuad ke Sukan Asia ekoran masalah kesihatan.
Setiausaha Kehormat BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, hasil penilaian tersebut akan diserah kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sekurang-kurangnya sehari sebelum temasya di Jakarta dan Palembang itu bermula pada 18 Ogos ini.
“Berdasarkan senarai panjang yang dihantar kepada MOM sebelum ini, tiga nama ini boleh dipertimbangkan tiada masalah.
“Biasanya kita akan ikut cadangan daripada ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek. Kalau cadangannya munasabah, kita akan ikut apa yang diusulkan oleh Misbun. Sebab kita tak sempat nak buat mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan.
“Jadi, jika tiada masalah kita akan buat keputusan terus,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Negara di Bukit Kiara di sini hari ini.
Semalam, BAM mengesahkan pemenang tiga kali pingat perak Sukan Olimpik, Chong Wei tidak akan menyertai Kejohanan Dunia di Nanjing, China pada Isnin ini serta termasuk Sukan Asia setelah dinasihatkan oleh doktornya agar berehat dan menjalani rawatan selepas mengalami masalah berkaitan respiratori.
Dalam masa sama, Chin Chai berkata meskipun ketiadaan bekas pemain No. 1 dunia itu memberi tamparan hebat buat pasukan kebangsaan, namun dari sudut positif akan membuka ruang kepada atlet pelapis untuk membuktikan keupayaan mereka.
“Kita sudah bergantung kepada Chong Wei dalam Sukan Asia selama 15 tahun. Memang (ketiadaannya) satu tamparan hebat kepada skuad kebangsaan.
“Jadi kami akan lihat semula dan menurunkan sedikit sasaran kita sebab dengan adanya Chong Wei, memang berpeluang cerah untuk menang pingat dalam perseorangan lelaki dan berpasukan lelaki.
“Bagi saya, sekarang adalah peluang dan cabaran kepada atlet pelapis kami yang terdiri daripada pemain berusia bawah 21 tahun. Mereka perlu buat demi ‘abang besar’.
“Satu cabaran yang besar untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian empat tahun lalu apabila meraih pingat gangsa acara berpasukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan tiada pengganti Chong Wei ke Kejohanan Dunia kerana undian telahpun dijalankan.










