KUALA LUMPUR – Ikon boling negara, Shalin Zulkifli bakal menerima Anugerah Srikandi Negara pada Malam Semarak Perjuangan Anugerah Tokoh Srikandi Negara anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS), Jumaat ini.
Selain Shalin, seramai 12 tokoh termasuk Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, pakar motivasi, Prof Datuk Dr. Muhaya Mohamad dan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr. Asma Ismail diberikan pengiktirafan sama, mengikut bidang masing-masing.
Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa berkata, majlis pengiktirafan kali kedua itu diadakan bertujuan mengiktiraf jasa dan sumbangan golongan wanita terhadap pembangunan Malaysia di dalam mahupun di luar negara.
“Setiap sumbangan mereka wajar diiktiraf dan ini mampu menaikkan semangat serta menjadi contoh kepada generasi yang bakal memimpin negara,” katanya kepada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat GMPS dekat sini hari ini.
Zambri berkata, majlis pengiktirafan itu juga bersempena sambutan ulang tahun ke-70 GPMS.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mencemar duli hadir pada majlis malam anugerah itu, selain akan dihadiri oleh isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Dr. Siti Hasmah yang juga seorang daripada pengasas dan pencetus idea penubuhan GPMS pada sekitar tahun 1948 pernah dipilih sebagai penerima anugerah khas Tokoh Srikandi Negara pada 2014. – Bernama










