Shakila harapan emas - Utusan Malaysia

Shakila harapan emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) meletakkan sasaran tinggi kepada skuad negara untuk memburu lima pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia, bulan depan.

Setiausaha Agung Makaf, Vincent Chen Chee Hong berkata, sasaran berkenaan diputuskan berdasarkan ranking dunia atlet karate negara sejak beberapa bulan lepas, selain pencapaian mereka pada Sukan Asia yang terdahulu.

Beliau memaklumkan bahawa pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Asia 2018, Shakila Salni Jefry Krisnan yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2014 di Korea Selatan, menjadi taruhan utama Makaf untuk mengulangi kejayaan sama di Indonesia.

“Sasaran tersebut bukan imaginasi Makaf tetap trek rekod lima atlet berkenaan. Jika mereka bukan atlet yang mempunyai prospek memenangi pingat, kita tidak akan mencadangkan nama mereka,” kata Chen pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan bersama Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Chen berkata Makaf hanya menghantar enam atlet iaitu tiga lelaki dan tiga wanita ke Sukan Asia kecuali S. Senthil Kumaran yang terpaksa digugurkan kerana mengalami kecederaan retak tempurung kepala ketika menyertai sebuah kejohanan di luar negara, baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Azim yakin skuad karate negara bakal menampilkan aksi cemerlang di Indonesia berdasarkan pencapaian mereka dalam beberapa edisi Sukan Asia sebelum ini.

“Makaf merupakan persatuan sukan tunggal daripada 31 persatuan sukan yang mengadakan perjumpaan dengan saya setakat ini yang berani meletakkan sasaran hampir kesemua atlet mereka akan memenangi pingat.

“Kita juga melihat cabaran negara lain seperti Uzbekistan, Jepun, Kazakhstan dan Iran manakala persatuan sukan lain menganggap China, Jepun dan Korea Selatan sebagai pencabar utama dalam sukan masing-masing,” jelas Abdul Azim.

Untuk rekod, Malaysia meraih dua pingat emas pada edisi 2014 menerusi Shakila Salni dalam acara Kumite Bawah 61kg wanita dan Lim Chee Wei dalam acara Kata Individu Lelaki. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN