SHAH ALAM 31 Julai – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan tahap kesihatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin yang menderita kanser kini terpaksa berehat dirumahnya.
![]() |
|
SHAHARUDDIN
|
Sehubungan itu, Mohamed Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor mendoakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia itu segera sihat kerana tiada penyakit yang tiada ubat.
“Perkara ini tidak mustahil namun beliau perlu menjalani rawatan dan mengikut nasihat doktor. Saya harap kita terus mendoakan beliau agar segera sembuh yang kini sedang berada di rumah dan sedang berehat,” katanya ringkas.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, beliau kurang pasti tentang keadaan Shaharuddin yang dikatakan sedang kritikal berikutan tiada maklumat berkenaannya.
“Bagaimanapun, ketika mesyuarat Exco terakhir baru-baru ini, beliau ada mengatakan tidak sihat,” ujarnya.
Semalam, sebuah portal melaporkan Shaharuddin kini sedang tenat dan menderita sakit kanser kolon.
Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang di kerusi DUN Seri Setia menewaskan calon Barisan Nasional, Yusoff M. Haniff dengan mendapat 29,250 undi.
Beliau mengalahkan Yusoff yang memperolehi 9,878 undi, calon Pas, Mohd. Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas S. Vigneswaran (217). – UTUSAN ONLINE











