SHAH ALAM 6 Julai – Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sewajarnya berasa bangga apabila bandar raya ini berjaya menduduki tempat ke-22 daripada 50 buah bandaraya lain di seluruh dunia menerusi pertandingan We Love Cities anjuran World Wide Fund For Nature.
Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, lebih membanggakan, kejayaan tersebut diraih dengan menewaskan dua lagi bandar raya iaitu Kuala Lumpur dan Melaka di peringkat kebangsaan.
“50 buah bandar raya dari pelbagai negara telah bertanding dalam pertandingan We Love Cities yang mana kriteria yang digunakan untuk memilih bandar raya terbaik adalah berdasarkan kepada undian-undian warga di sesebuah bandar raya tersebut serta promosi yang dilakukan melalui media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan tanda pagar (hashtag).
“Lebih membanggakan, MBSA berjaya mengatasi bandar raya Kuala Lumpur yang berada di tempat ke-23 dunia dan juga bandar raya Melaka yang berada di tempat ke-30 dunia di peringkat kebangsaan dalam pertandingan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Shahrin, secara keseluruhannya, Jakarta memenangi pertandingan We Love Cities bagi peringkat dunia.
Katanya, melalui kempen berkenaan diharapkan dapat mewujudkan rasa sayang dan kekitaan dalam kalangan masyarakat terhadap Shah Alam sebagai sebuah bandar raya bebas karbon.
“MBSA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang telah mengundi dan juga menyokong Shah Alam dalam pertandingan ini.
“Kejayaan ini diharap mampu menyuntik semangat warga Shah Alam untuk memelihara alam sekitar daripada pencemaran udara seterusnya menjadi tempat tinggal dan bekerja yang lebih kondusif,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










