SHAH ALAM 27 Julai – Laungan perangi nepotisme serta kronisme oleh pemimpin PKR mungkin sekadar indah khabar dari rupa apabila menjelangnya pemilihan parti bulan depan, Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor meletakkan jawatan.
Syed Badli Shah Syed Osman yang mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi kenyataan mendakwa berlakunya amalan kronisme dan nepotisme kronik dalam kalangan pimpinan parti di negeri itu hingga disifatkannya sebagai ‘kabilah’.
“Saya menyelar sikap segelintir pemimpin PKR Selangor yang menjadikan habuan jawatan lantikan politik sebagai usaha untuk mengekalkan pengaruh dan kuasa.
“Secara jelas jawatan- jawatan lantikan politik hanya diberikan kepada mereka yang menunjukkan taat setia kepada kabilah tertentu dan tidak lagi menerusi merit,” dakwanya.
Di Selangor Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin mempunyai pengaruh yang cukup kuat dan dipercayai ‘aura’ Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebut di negeri ini, mengatasi pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sendiri.
Dalam pada itu, Syed Badli mendakwa dalam penentuan jawatan ahli majlis misalnya nama-nama mereka yang dicadang daripada peringkat cabang diketepikan walaupun sudah ‘berjuang sekian lama’ dalam parti itu.
“Sikap kuku besi terserlah dengan tidak meraikan perbezaan pendapat dan dianggap menderhakai kepimpinan negeri.
“Budaya tegur-menegur tidak lagi subur dalam Keadilan (PKR) Selangor akibat dari sikap angkuh dan sombong segelintir kepimpinan negeri.
“Mereka lebih gemar kepada ahli yang hanya tunduk dan patuh tanpa mengeluarkan sebarang pendapat yang bercanggah,” dakwanya. – UTUSAN ONLINE








