KUALA LUMPUR 10 Julai – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V hari ini berkenan berangkat ke majlis ramah mesra dan resepsi minum petang bersama kerabat diraja Kelantan dan penggiat seni tanah air di Istana Negara.
Turut berangkat Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.
Tetamu pada majlis itu termasuk kira-kira 400 penggiat seni dalam pelbagai cabang seni merangkumi artis veteran dan baharu, artis kelahiran Kelantan, pemuzik serta pereka fesyen tempatan.
Hadir sama Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Fauzi Ayob; Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air, Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave.
Sementara itu, pelakon dan usahawan terkenal Datuk Seri Shah Rezza menzahirkan kegembiraan beliau atas kesediaan Seri Paduka meluangkan masa menyantuni penggiat seni pada majlis berkenaan.– BERNAMA











