Serena dakwa mangsa diskriminasi - Utusan Malaysia

Serena dakwa mangsa diskriminasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL 25 Julai – Bintang tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams mendakwa, menjadi mangsa diskriminasi selepas diarah menjalani ujian doping lebih banyak daripada pemain lain.

Pemilik 23 gelaran Grand Slam itu melepaskan rasa tidak puas hatinya dalam media sosial hari ini, biarpun menegaskan, dia tidak gentar diuji kerana tidak melakukan kesalahan.

Menurut laman web Deadspin, Williams diuji lebih banyak daripada mana-mana pemain tahun ini, biarpun terlepas sebahagian besar musim kerana melahirkan anak perempuannya, 10 bulan lalu.

Dia diuji lima kali pada Jun, manakala bintang berprofil tinggi lain seperti Sloane Stephens dan Madison Keys hanya diuji sekali dalam tempoh yang sama.

“Apabila tiba masanya pemain perlu menjalani ujian secara rambang, orangnya adalah Serena.

“Daripada semua pemain yang ada, sudah terbukti saya paling banyak diuji. Diskriminasi? Saya fikir, ya. Sekurang-kurangnya ia membuatkan saya terus bersih dalam sukan dan #KekalPositif,” tulis Williams.

Pada pertengahan bulan lalu, Williams, 36, gagal menjalani ujian selepas tiada di rumah ketika ejen Agensi Anti Doping Amerika Syarikat (USADA) muncul.

Begitupun tegasnya, semua itu hanya satu salah faham.

Williams dikla­sifikasikan sebagai gagal mengambil ujian, dan mana-mana atlet yang terlepas tiga ujian dalam tempoh 12 bulan dianggap melanggar peraturan anti-do­ping.

“Waktu ujian saya sepatutnya 12 jam kemudian tetapi untuk sebab tertentu mereka muncul pada awal pagi, yang mana mengikut peraturan, mereka dibenarkan berbuat demikian.

“Disebabkan saya tiada di rumah ketika itu, mereka sepatutnya pergi tetapi mereka memilih untuk tidak pergi dan menyuruh saya balik.

“Saya benar-benar tiada di kawasan berdekatan ketika itu kerana tempoh ujian yang sepatutnya dilakukan masih lama, jadi mereka membuat keputusan untuk menulis dalam laporan, saya gagal hadir ujian. Ia tidak masuk akal,” kata Williams, yang mengaku kecewa. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN