Sepanyol menangis di kaki Rusia - Utusan Malaysia

Sepanyol menangis di kaki Rusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW – Rusia mencipta kejutan terbesar apabila menyingkirkan juara 2010, Sepanyol daripada Piala Dunia 2018 dengan kemenangan 4-3 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan pada pusingan 16 terbaik di Stadium Luzhniki sebentar tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev muncul wira dalam penentuan sepakan penalti selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti yang diambil Koke dan Iago Aspas.

Sepanyol terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri Sergei Ignashevich selepas pemain pertahanan tuan rumah itu tertampan masuk sepakan percuma Marco Asensio pada minit ke-12.

Rusia bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan empat minit sebelum tamat babak pertama menerusi sepakan penalti Artem Dzyuba menewaskan penjaga gol Sepanyol, David De Gea selepas bola terkena tangan Gerard Pique.

Usaha Sepanyol mendapatkan gol kemenangan berdepan kesukaran kerana terpaksa mencari ruang dalam keadaan Rusia bermain secara ‘berkampung’ sepanjang baki 45 minit babak kedua serta dua tambahan masa perlawanan tersebut.

Kegigihan Rusia yang merupakan pasukan ranking terendah kejohanan iaitu No. 70 dunia, mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti menuai hasil lumayan berdasarkan kecekapan Akinfeev.

Kejayaan menewaskan Sepanyol, pasukan No. 3 dunia, merupakan satu sejarah baharu buat sukan bola sepak Rusia kerana ini adalah kali pertama mereka layak ke pentas suku akhir Piala Dunia selepas kali pertama beraksi pada 1994.

Malah, ia juga kemenangan pertama Rusia ke atas Sepanyol dalam enam pertemuan dengan lawan tersebut sejak 2004. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN