KUALA LUMPUR – Peluang Malaysia memburu sekurang-kurang satu emas dalam acara sepak takraw di Sukan Asia Indonesia 2018 bulan depan kembali terbuka apabila undian semula acara regu lelaki tersebut dilaporkan selesai.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya hanya menunggu pengumuman rasmi daripada Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indondesia (INASGOC) dalam masa sehari dua ini.
Menurutnya, isu berkenaan dianggap selesai selepas MOM, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan INASGOC mengadakan perbincangan di Jakarta, baru-baru ini.
“Akan ada perkhabaran positif dalam satu atau dua hari dari sekarang. Kita hanya tunggu kenyataan rasmi daripada pihak penganjur,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, hari ini.
Sebelum ini, Malaysia tidak tersenarai dalam acara regu lelaki yang menjadi sandaran emas negara di Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.
Pada majlis undian oleh INASGOC di Jakarta, awal bulan, skuad sepak takraw lelaki negara didakwa hanya menghantar pengesahan untuk menyertai acara regu berpasukan dan beregu berpasukan.
Bagaimanapun, MOM memberi penjelasan bahawa borang penyertaan daripada sepak takraw yang dihantar pada 29 Jun lalu kepada INASGOC adalah penyertaan dalam acara regu dan regu berpasukan.
Kesilapan teknikal tersebut diperakui oleh INASGOC dan OCA berjanji akan membuat pembetulan atas kesilapan yang telah berlaku.
PSM menyasarkan satu pingat emas pada edisi kali ini, iaitu dalam saingan regu bagi mengubat episod kemarau pingat emas yang kali terakhir diraih pada edisi 1994 di Hiroshima, Jepun.
Seramai 15 pemain berada dalam senarai PSM untuk membawa cabaran negara bagi saingan lelaki di temasya sukan itu. – Bernama











