KUALA LUMPUR 25 Julai – Kerajaan akan menjadikan Soeul di Korea Selatan sebagai model contoh pelaksanaan teknologi bandar raya pintar untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan awam di negara ini khususnya di ibu kota.
Usaha itu akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan kerajaan Metropolitan Seoul dengan mengkaji dan memberi tumpuan kepada beberapa aspek seperti digitalisasi, tenaga bersih dan teknologi inovatif.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz berkata, melalui usaha itu pihaknya berhasrat menaik taraf semua aplikasi mudah alih berkaitan pengangkutan awam menjadi lebih sistematik untuk memudahkan orang ramai mengenal pasti waktu perjalanan, tempat dan jumlah tambang pengangkutan awam
“Kami ingin mempelajari kecekapan Seoul membangunkan pengangkutan awam mereka dengan menggunakan sistem dan aplikasi mudah alih bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, mengurangkan masa perjalanan, mengurangkan jarak dan memberi subsidi tambang.
“Semua perkara ini perlu diberi perhatian untuk membolehkan pengguna beralih kepada pengangkutan awam,’’ katanya dalam sidang akhbar Kluster Infrastruktur CityNet & Pusat Latihan Serantau Kuala Lumpur 2018 (KLRTC 32) di sini, hari ini.
Mhd. Amin Nordin berkata, kerjasama dengan kerajaan Korea Selatan itu diharap dapat menyelesaikan masalah jumlah kenderaan yang semakin meningkat di jalan raya sehingga menyebabkan kesesakan, ruang parkir yang terhad dan pencemaran udara di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, DBKL bangga diberi kepercayaan mengetuai mesyuarat Kluster CityNet kelompok infrustruktur selama tiga hari yang bermula semalam.
“Empat kelompok utama yang diketengahkan dalam Kluster CityNet ini adalah Infrastruktur, Strategik, Bencana Alam dan Perubahan Iklim.
“DBKL juga diberi pelaung berkongsi pengalaman dalam pembangunan Projek River of Life (ROL),” katanya.
Sementara itu, Duta Hubungan Antarabangsa Kerajaan Metropolitan Seoul, Yim Geun Hyeong memuji kejayaan projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life dan pengindahan lorong di Kuala Lumpur yang mendapat penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Pembangunan semula bandar melibatkan pihak berkuasa tempatan dan komuniti seperti ini dapat mencetuskan pertumbuhan budaya yang juga selari dengan usaha memulihkan infrastruktur bandar,” katanya.










