Semua gosip bukan dari saya - ADUN Gual Ipoh - Utusan Malaysia

Semua gosip bukan dari saya – ADUN Gual Ipoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH 28 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd. Bakri Mustapha yang namanya dikaitkan sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan beliau akan berbuat demikian.

Mohd. Bakri mengakui mendapat tawaran menyertai Bersatu, namun setakat ini beliau masih ahli UMNO dan belum membuat apa-apa keputusan untuk meninggalkan parti.

“Kalau perlu kita pergi. Setakat ini tidak ada apa-apa keputusan untuk dibuat. Cuma semua gosip bukan dari saya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khabar angin sejak beberapa hari lalu mengatakan Pakatan Harapan (PH) bakal mempunyai wakil rakyat tunggal di negeri ini apabila seorang ADUN BN dijangka akan menyertai Bersatu.

ADUN berkenaan dikatakan berbuat demikian dalam satu majlis yang dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Machang, esok.

Perkara tersebut turut diakui Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

Mohd. Bakri dalam pada itu berkata, setakat ini beliau masih mahu memperjuangkan nasib rakyat di DUN Gual Ipoh menerusi UMNO, namun perkara itu semakin sukar selepas BN tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sudah dua penggal saya berjuang untuk rakyat di DUN ini. Perjuangan saya adalah untuk rakyat, tetapi kini UMNO semakin hilang taringnya selepas mengalami kekalahan dalam PRU-14 lalu.

“Saya kini hanya tumpukan tugas sebagai ADUN. Saya telah meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Umno Bahagian bagi memberi peluang kepada muka baharu memimpin parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN