KOTA BELUD 17 Julai – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri digesa menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyemak semula di mana dana pembangunan yang telah diperuntukkan kerajaan terdahulu untuk daerah ini dibelanjakan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jaujan Sambakong berkata, sebagai daerah jelapang padi, Kota Belud sepatutnya telah menerima banyak peruntukan, namun hakikatnya daerah itu sebenarnya masih mundur seolah-olah tiada pembangunan yang dilakukan kerajaan sebelum ini.
Katanya, meskipun bergelar jelapang padi, Kota Belud juga masih belum menghasilkan jumlah beras yang banyak, malah kawasannya sering dilanda banjir dan mengalami gangguan bekalan air bersih.
“Tujuan kita bukan mencari kesalahan tetapi cari balik di mana duit itu dibelanjakan kalau masih ada dan disimpan sila pulangkan, ini adalah peranan jawatankuasa khas tersebut.
“Tidak dinafikan kerajaan dulu ada buat pembangunan tetapi tidak cukup, peruntukan begitu banyak disalurkan jadi kenapa berlaku seperti itu, 60 tahun memerintah tetapi Kota Belud masih mundur,” katanya ketika berucap dalam Majlis Kesyukuran Mesra Rakyat 2018 di Kampung Taun Gusi, di sini hari ini.
Jaujan berkata, kerajaan yang ada sekarang akan memastikan urus tadbir kewangan untuk pembangunan dilakukan dengan telus agar apa yang dirancang terutama dalam memajukan Kota Belud terlaksana.
Mengulas mengenai masalah banjir katanya, kerajaan akan mengambil contoh daripada Belanda yang berjaya menjadi pengeluar produk pertanian terbesar di Eropah dengan memanfaatkan sumber air yang banyak kerana muka buminya terletak di bawah paras laut.
“Tanah di Belanda terletak di bawah paras laut tetapi mereka tidak dilanda banjir sebaliknya teknologi yang ada berjaya memanfaatkan jumlah air yang banyak untuk menghasilkan produk pertanian.
“Sebab itulah kerajaan perlu menghantar rombongan ke sana dan belajar teknologi yang digunakan agar kita dapat menyelesaikan masalah di sini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










