PENGURUSAN zakat di Malaysia sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan negatif oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia. Apabila tular berkaitan dengan kemiskinan dalam kalangan masyarakat Islam, agensi pertama yang akan dituding jari adalah institusi zakat.
Seringkali juga kita terbaca atau terdengar luahan masyarakat di mana institusi zakat hanya tahu mengutip zakat tetapi lambat mengagihkan wang zakat.
Begitu banyak kempen dengan kaunter kutipan tetapi tiada kempen berserta kaunter agihan. Setelah hampir setahun saya meneraju Lembaga Zakat Negeri Kedah, hasil daripada pemerhatian dan berkongsi pandangan dengan
agensi pengurusan zakat seluruh Malaysia di bawah Sekretariat Pengurusan Zakat Nasional (SPZN), saya melihat masih banyak perkara perlu diperkasakan supaya dapat membina persepsi yang positif terhadap pengurusan zakat di Malaysia.
Di Malaysia, pengurusan kutipan dan agihan zakat adalah berbeza mengikut negeri. Ada sebahagian negeri yang menjenamakan zakat sebagai agensi mengutip dan mengagih seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Hanya ketiga-tiga negeri ini sahaja yang menjenamakan insitusi zakat sebagai pusat kutipan dan agihan.
Bagi Wilayah Persekutuan, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka pula, urusan kutipan dan agihan dilakukan oleh
agensi yang berbeza. Sebagai contoh di Wilayah Persekutuan, urusan kutipan dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ) manakala agihan dilakukan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP).
Begitu juga bagi Pusat Kutipan Zakat Pahang, Pusat Kutipan Zakat Negeri Sembilan dan Pusat Zakat Melaka yang hanya menjalankan urusan kutipan manakala agihan melalui Majlis Agama Islam negeri masing-masing.
Bagi Kelantan, Terengganu, Johor, Perak, Perlis dan Sabah, kedua-dua urusan kutipan dan agihan adalah di bawah Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Di Sarawak pula adalah di bawah Tabung Baitulmal Sarawak.
Oleh kerana hanya tiga negeri sahaja yang menonjolkan zakat sebagai institusi mengutip dan mengagih zakat, manakala sebahagian yang lain hanya ditonjolkan sebagai agensi mengutip zakat sahaja tetapi agihan diletakkan di bawah Baitulmal atau Majlis Agama Islam, maka perkataan zakat itu sendiri hilang daripada kefahaman masyarakat.
Sekiranya semua operasi pengurusan zakat di negeri-negeri menjalankan operasi kutipan dan agihan menggunakan nama ‘zakat’, maka persepsi baharu terhadap pengurusan zakat di Malaysia dapat dibina. Tidak akan timbul lagi isu agensi zakat hanya tahu kutip tetapi agihan entah ke mana. Sedangkan persepsi salah
itu terbina sejak sekian lama kerana sistem pengurusan zakat itu sendiri yang mengundang persepsi buruk kepada masyarakat.
Selagi mana penyelarasan dan penjenamaan semula tidak dilakukan, selagi itulah masyarakat akan terus menyimpan persepsi salah terhadap institusi zakat. Sudah tiba masanya jenama zakat ini diperbaharui semula dengan wajah baharu.
SYEIKH ZAKARIA OTHMAN
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah









