KUALA LUMPUR 15 Julai- Jaringan hatrik Rufino Segovia membantu Selangor mencatat keputusan seri 3-3 berdepan musuh tradisi, Kuala Lumpur pada aksi tunggal Liga Super 2018 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Pada aksi itu, Kuala Lumpur yang dibimbing ketua jurulatih, Fabio Joaquim Maciel Da Silva membuka jaringan seawal minit kelima menerusi rembatan kencang Zhafri Yahya selepas menerima hantaran Guilherme De Paula.
Rufino yang juga penyerang prolifik skuad ‘Gergasi Merah’, meledak gol penyamaan Selangor pada minit ke-13, namun selang enam minit kemudian, tuan rumah berjaya menjaringkan gol kedua hasil jaringan Muhamad Hafiz Mohd Johar.
Selangor kembali bangkit menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-36, menerusi sepakan penalti yang tenang disempurnakan Rufino selepas K. Kannan dikasari di dalam kotak penalti.
Bersambung di babak kedua, giliran Paulo Josue meletakkan skuad ‘The Hawks’ kembali di hadapan pada minit ke-47, sebelum Rufino muncul wira Selangor dengan jaringan ketiganya pada minit ke-74 sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.
Aksi malam ini, bagaimanapun dicemari dengan layangan kad merah oleh pengadil kepada pemain tengah Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin selepas bekas pemain kebangsaan berusia 36 tahun itu menyiku pemain pasukan pelawat.
Keputusan tadi menyaksikan tiada perubahan dalam carta kedudukan liga dengan Selangor yang mengumpul 21 mata kekal di tangga kesembilan, diikuti Kuala Lumpur di tempat kesepuluh, dengan turut mengutip 21 mata. – BERNAMA










