SETIAP pagi, Kamarunisa Poovummuda akan menyisip secawan teh sambil menyaksikan ombak dari Laut Arab menghempas sekitar kawasan sistem pengolahan air masin di hadapan rumahnya di Pulau Kavaratti, Barat Daya, India.
Baginya, kelazatan rasa teh yang dibru sempurna itu adalah hasil daripada sistem desalinasi air laut kepada air boleh diminum yang baharu sahaja dibawa kepada penduduk di kepulauan tersebut.
Sesungguhnya, nikmat kehadiran sistem tersebut telah membuatkan Poovummuda hampir melupai memori buruk minum teh yang penuh rasa payau dan masin hampir sedekad yang lalu.
“Kami mula mengesan perbezaan apabila melihat air teh daripada warna biru bertukar menjadi warna emas seperti yang sepatutnya apabila dituang ke dalam cawan.
“Kemudian, kami cuba untuk merasai teh tersebut, dan ternyata ia sedap dan sungguh ajaib,” kongsi Poovummuda saat pertama kali merasai nikmat meneguk teh yang sebenar.
‘Kelazatan’ teh tersebut bukan hanya menggembirakan Poovummuda malah diraikan hampir setiap hari oleh penduduk Pulau Kavaratti, ibu negeri kepada jajahan terkecil di India, Lakshadweep.
Dikelilingi pantai yang bersih, lagun dan hidupan karang yang indah, penduduk di pulau tersebut menghadapi masalah bekalan air bersih yang dihadapi oleh penduduk di kepulauan secara global.
Saban tahun, air laut yang membiru akan memasuki kawasan penyimpanan air bawah tanah di pulau tersebut, menyebabkan air bersih bercampur dengan air masin.
Tercemar
Ia sekali gus menyebabkan bekalan air bersih tercemar dan tidak selamat untuk diminum, memasak mahupun mandi.Namun, kehadiran Purnima Jalihal bersama kumpulannya dari National Institute of Ocean Technology (NIOT) yang berpangkalan di Chennai, pada tahun 2004 telah memberi nafas baharu kepada penduduk di Kavaratti.
Menurut Jalihal, ketika pertama kali tiba di Kavaratti, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran berat.
Antaranya luahan penduduk dan merasai sendiri betapa teruknya teh air masin yang diminum oleh masyarakat di situ setiap hari.
Mereka turut menerima amaran dan arahan daripada pihak pengurus pulau tersebut untuk tidak melakukan sebarang perkara yang boleh mencemarkan elemen semula jadi di Kavaratti.
“Ia sememangnya satu usaha yang sangat sukar bagi kami. Kavaratti tidak dilengkapi infrastruktur yang cukup, namun kami tidak dibenarkan untuk membawa mesin besar dan berat dikhuatiri merosakkan persekitaran pantai. Semuanya dilakukan secara manual.
“Kami menunda saliran paip bawah laut menggunakan struktur binaan terapung yang dibina sendiri. Akhirnya dalam masa setahun, sistem pengalihan air tersebut siap dan berfungsi, sekali gus kini menghantar 100,000 liter air bersih melalui paip ke telaga air di kampung setiap hari,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Latif berkata, sistem pengolahan air tersebut bukan sahaja mewujudkan revolusi dalam sumber makanan dan minuman penduduk, malah menjadi tarikan kepada pelancong.
Katanya, dia dan rakan-rakannya sudah terbiasa membawa anak-anak dan tetamu dari tanah besar untuk melawat telaga bekalan air tersebut.
“Kawasan ini telah menjadi tempat tumpuan pelancong. Kami biasanya akan membawa pelancong berjalan menyeberangi jambatan untuk melihat saliran paip yang terdapat di bawahnya. Kami juga gembira menawarkan mereka untuk minum segelas air bersih daripada teknologi tersebut.
Tercemar
“Selama 13 tahun ini, ia memang jarang rosak. Cuma sesekali, kami berdepan cabaran apabila ada obor-obor besar tersangkut di pam bawah air,” kongsinya.
Dibina menggunakan kos sebanyak 50 juta rupee (RM2.95 juta) yang ditanggung oleh kerajaan, teknologi tersebut sememangnya mesra alam, namun memerlukan usaha yang jitu untuk operasi dan pemeliharaan.
Namun, kegembiraan kepada 11,000 penduduk di pulau itu telah membawa inspirasi kepada NIOT untuk mendirikan dua lagi sistem pengolahan air di dua buah pulau berdekatan iaitu Agatti dan Minicoy.
Paling istimewa, selepas lebih sedekad kejayaan di Kavaratti, Jalihal kini kembali ke pulau tersebut untuk membina sistem pengolahan baharu mesra alam.
“Sistem ini akan lebih sempurna. Tidak menggunakan minyak sebagai jana kuasa, kita akan gunakan tenaga termal lautan yang pastinya lebih hijau dan bebas pencemaran,” katanya. – Reuters










