Sekat kereta import - Utusan Malaysia

Sekat kereta import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – Dasar kerajaan yang terlalu terbuka dengan membenarkan kenderaan dari luar negara dibawa masuk tanpa sekatan atau syarat dikatakan sebagai punca utama kegagalan industri automotif tempatan.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keada­an itu menyebabkan prestasi Proton Holdings Bhd. (Proton) merosot kerana terpaksa bersaing dengan kereta-kereta import yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat gergasi global.

“Kita sangat terbuka (pasaran), semua jenis kereta dari luar walaupun dibuat daripada tin Milo boleh masuk, sebab itu kita perlu kaji kemungkinan ada syarat-syarat tertentu supaya kereta asing tidak masuk de­ngan mudah dan memberi pe­luang kepada kereta tempatan.

“Kerajaan juga bersetuju de­ngan syarikat gergasi dari negara lain yang cekap dalam bidang automotif dan bersedia memberi saham yang cukup untuk mereka mengikut rundingan tapi kita perlu berkuasa dan mempunyai bahagian yang bermakna dalam pengurusan syarikat ini,” kata­nya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin mengetahui perancangan kerajaan sama ada akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar bagi membangunkan kereta nasional ketiga.

Dr. Mahathir yang juga dianggap sebagai ‘bapa’ kepada penubuhan Proton pada 1983 berkata, Proton tidak gagal ke­rana syarikat tersebut pernah menguasai hampir 80 peratus pasaran di negara ini, mengumpul simpanan lebih RM4 bilion selain membangunkan kilang canggih di Tanjung Malim, Pe­rak dengan menggunakan wang sendiri bernilai RM1.8 bilion.

Menurut Perdana Menteri, dahulu Proton berjaya menjual kereta di pasaran tempatan dan menembusi pasaran antarabangsa sehingga berjaya menjual 25,000 unit kereta di United Kingdom (UK).

“Kemerosotan Proton disebabkan dasar membenar kereta dari semua negara masuk ke pasaran Malaysia, tetapi negara-negara ini mengenakan syarat supaya Proton tidak dapat tembusi pasaran mereka.

“Negara-negara ini mempunyai kilang yang amat besar dan mengeluarkan berjuta-juta kereta setahun,” jelasnya.

Dr. Mahathir menambah, kerajaan juga sedang menjalankan kajian semula terhadap Dasar Automotif Nasional supaya industri tersebut kekal kompetitif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN