MARANG 31 Julai – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberi tempoh enam bulan kepada pemilik-pemilik bangunan agar segera mewujudkan skuad mencegah kebakaran masing-masing dikenali sebagai Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) dan jika gagal, premis terbabit bakal dikenakan tindakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Datuk Amer Yusof berkata, tindakan itu bakal dikenakan mengikut kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2018 yang mula diwartakan pada 4 Mei lalu.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan apa bentuk tindakan yang akan dikenakan itu namun menambah, ia akan menyebabkan pemilik premis berkenaan gagal mendapat sijil mencegah kebakaran (FC) sebagaimana sepatutnya.
Menurutnya, antara premis atau bangunan terlibat ialah hotel, kilang, perpustakaan, hospital atau pusat rawatan, asrama, pejabat dan premis perkedaian.
“Akta ini baharu saja dipinda dan telah diwarta untuk dikuatkuasa. Jadi kita beri tempoh enam bulan kepada premis-premis berkenaan agar OKK (Organisasi Keselamatan Kebakaran) di premis mereka.
“Sebab itu jugalah kita adakan siri jelajah seminar seumpama ini ke seluruh negara dan premis yang ditetapkan ini wajib tubuh OKK dalam tempoh enam bulan mulai tarikh diwartakan sebelum dikuatkuasakan tahun depan,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Emergency Response Team (ERT) atau Pasukan Tindakan Kecemasan di Akademi Bomba Wilayah Timur di Wakaf Tapai dekat sini hari ini
Yang turut hadir Timbalan Pengarah JBPM Terengganu, Sharikan Bustaman dan seminar tiga hari itu disertai seramai 520 orang.
Dalam pada itu, Amer menarik perhatian, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk menghantar misi bantuan ke Lombok, Indonesia sekiranya diperlukan bagi membantu operasi menyelamat mangsa gempa bumi di sana.
“Buat masa kita belum terima apa-apa permohonan untuk hulurkan bantuan namun kita sentiasa bersiap siaga sekiranya diperlukan, biasanya untuk misi bantuan bencana seperti ini, ia melibatkan kira-kira 100 anggota bomba,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










