KUALA LUMPUR 18 Julai – Kementerian Kewangan sedia mempertimbang cadangan mengkaji semula akta-akta berkaitan pengagihan peruntukan kewangan diberikan kepada kerajaan negeri yang didapati tidak sesuai dan relevan lagi.
![]() |
|
Lim Guan Eng
|
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sebarang cadangan perlu dibawa kepada Majlis Kewangan Negara untuk rundingan, sepertimana dinyatakan dalam Perkara 109 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Sudah tentu dasar kerajaan baharu adalah untuk memastikan semua kerajaan negeri mendapat layanan adil khususnya negeri-negeri yang mundur.
“Pada masa yang sama, kami juga mahu melihat dari segi pengurusan dan pentadbiran mereka dipertingkatkan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) agar kewangan mereka tidak hanya bergantung kepada peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Jadi, saya bersetuju dengan pandangan perlunya kita melihat semula dan dalam aspek ini kerajaan rela menimbang cadangan-cadangan yang disyorkan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) yang mengemukakan cadangan tersebut dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN ONLINE











