Sedia bersemuka - Utusan Malaysia

Sedia bersemuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy hari ini tampil menyahut saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof supaya diadakan pertemuan bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul berhubung kontroversi yang melanda.

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN

Kedua-dua mereka bukan sahaja bersedia bersemuka malah menyambut baik usaha pertemuan tertutup yang akan diadakan tersebut.

Mohd. Asri bagaimanapun menegaskan, pertemuan itu bukan bertujuan unuk membersihkan nama Ramasamy sebaliknya untuk mendapatkan penjelasan daripada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu.

“Ini sikap yang adil iaitu sudi mendengar penjelasan. Pun begitu tuntutan beliau disiasat bukan tuntutan saya seorang tetapi ribuan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, persetujuan itu adalah seperti mana pertemuan dengan pihak-pihak lain sebelum ini.

“Saya boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja kerana ini bukan isu peribadi. Isu Ramasamy ialah soal keselamatan negara yang menjadi perkara utama selain sikap anti-Islam beliau. Perkara kedua (sikap permusuhan beliau terhadap umat Islam) boleh dibincangkan,” katanya menerusi WhatsApp.

Mujahid sebelum ini mencadangkan supaya satu pertemuan tertutup diadakan antara kedua-duanya berhubung dakwaan bahawa Ramasamy terlibat dengan aktiviti yang membabitkan aspek keselamatan negara di Putrajaya.

P. RAMASAMY
P. RAMASAMY

Sementara itu di PULAU PINANG, Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia berharap perbincangan berkenaan dapat mewujudkan satu fahaman untuk kebaikan negara.

Dalam masa sama, tambahnya, beliau mahu pertemuan itu kelak dapat memperjelaskan kontroversi melibatkannya sekali gus menghentikan dakwaan tidak benar terhadap beliau.

“Ini usaha murni oleh Mujahid dan saya bersedia,” katanya.

Kontroversi membabitkan Ramasamy tercetus apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis supaya siasatan dan tindakan diambil terhadap beliau kerana didakwa terlibat dengan gerakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Mohd. Asri kemudian turut menggesa rakyat negara ini terus membuat laporan polis terhadap Ramasamy bagi memastikan keharmonian kaum sentiasa terjaga.

Dalam reaksinya, Ramasamy menafikan beliau terlibat dengan LTTE dan menganggap tuduhan berkenaan sebagai fitnah keterlaluan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN